Home | Looking for something? Sign In | New here? Sign Up | Log out
Blog ini hanyalah artikal semata-mata. Ianya ada yang ditulis dan ada yang diambil dari sumber-sumber yang dipercayai (Sebelumnya saya mohon maaf jika saya mengambil artikal ini tanpa izin yang empunya). Sekiranya ada kesilapan atau ketidakpuasan mengenai artikal ini harap dimaafkan, diberi komen atau cadangan. Semuga sedikit sebanyak ianya dapat berkongsi dan memberi ilmu pengetahuan kepada kita yang sedang mencari " ILMU " untuk manaafat diri dan sahabat-sahabat kita ... terima kasih.

20 Jun 2010

20hb. Jun ...... bapa 1

20 Jun 2010
Bapa semakin berperanan mendidik dan mengasuh anak

Masyarakat begitu menghargai pengorbanan ibu. Hari Ibu disambut meriah setiap tahun. Bermacam-macam program diadakan sempena hari istimewa ini, tapi bagaimana pula dengan Hari Bapa?

HARI Bapa disambut di Malaysia pada hari Ahad ketiga bulan Jun. Tahun ini, Hari Bapa jatuh pada 20 Jun. Biarpun tidak sehebat sambutan Hari Ibu pada bulan lalu, masih terdapat pelbagai promosi hidangan di hotel-hotel dan restoran atau jualan tertentu yang dianjurkan sempena sambutan Hari Bapa tahun ini.
Mungkin demam Piala Dunia 2010 pada masa ini menyebabkan sambutan Hari Bapa tidak semeriah sambutan Hari Ibu. Penghormatan kepada ibu dan bapa perlu diberikan sepanjang masa. Namun pada sambutan Hari Bapa, tidak salah jika anak-anak meraikan bapa masing-masing bagi menunjukkan rasa sayang serta menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Pengorbanan bapa tidak harus dipandang sepi kerana peranannya semakin mencabar berbanding satu ketika dulu. Tugas seorang bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan, pakaian kepada anak-anak dan isteri. Malah ia meliputi juga penyediaan keperluan pendidikan formal serta rohani. Sebenarnya tugas seorang bapa memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT adalah satu jihad yang mendapat ganjaran besar. Setiap masa yang diluangkan untuk mendidik dan bermesra dengan anak dan ahli keluarga juga adalah sebahagian daripada jihad. Apa yang dilakukan tidak sia-sia.

Setiap tenaga yang dicurahkan dan wang yang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah. Balasan pahala yang disediakan amat besar. Bapa mithali mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Begitulah besarnya peranan seorang bapa. Bapa adalah ikutan untuk membentuk peribadi anak. Oleh itu anak memerlukan masa bersamasama bapa untuk memerhati dan mencontohi apa yang dilakukan oleh bapanya. 

Bapa adalah guru yang paling berkesan.

Peranan bapa bukan lagi sekadar menyara keluarga, lebih dari itu bapa berperanan penting melindungi isteri, memberi kebahagiaan kepada keluarga dan kedamaian rumah tangga. Minggu ini kita mengupas persoalan tentang peranan bapa pada zaman sekarang kerana jika dilihat hari ini tugas seorang bapa bukan sahaja mencari nafkah untuk keluarga tetapi turut memainkan peranan dalam mendidik anak-anak. Ikuti tinjauan yang telah dibuat oleh MW#1389.

Bapa perlu rasional bukan emosional

Menurut Prof. Madya Dr. Ahmad Rashdi bin Yan Ibrahim, peranan bapa zaman dahulu dan kini dalam membentuk keluarga dan mendidik anak-anak tidak ada jauh bezanya.

“Pendidikan bermula dari rumah. Tidak kira sama ada bapa itu berpendidikan mahupun tidak, cara mereka mendidik anak-anak itulah yang menentukan kejayaan diri mereka sebagai seorang bapa. Tidak ada bukti yang mengatakan bahawa bapa yang berpendidikan tinggi lebih berjaya mendidik anak mereka. Tidak ada juga bukti mengatakan bahawa bapa yang tidak berpendidikan tidak mampu mendidik anak-anak mereka.

Begitu juga tiada bukti menunjukkan bahawa bapa dahulu lebih baik daripada bapa sekarang dalam mendidik anak-anak. 

Apa bezanya adalah cara bapa sekarang dan bapa dahulu mendidik anak? 
Kenapa anak-anak pada masa dahulu takut dengan bapa mereka jika dibandingkan dengan masa sekarang? 

Zaman saya dahulu, bila bapa jeling sahaja, kita sudah takut. Apa sahaja yang disuruhnya sudah pasti akan diikut. Pada masa itu, kalau anak lari dari rumah pun bukan sebab benci bapa tetapi kerana hormat dengannya. Saya fikir disebabkan hormat pada bapa jugalah anak-anak zaman dahulu kurang melakukan kesalahan. Berlainan sangat dengan anak-anak zaman sekarang. Mereka kini seperti sudah tidak takut dengan bapa sendiri. Mungkin juga kerana bapa mereka tidak tegas atau tidak mengambil berat, maka sikap hormat anak kepada bapa makin kurang,” ujarnya.

Tambah Dr. Rashidi apabila seorang lelaki itu memasuki alam rumahtangga, bermakna mereka sudah menjadi ketua keluarga. Ketika itu mereka mesti tahu apa pengisian yang perlu ada dalam diri mereka berkaitan dengan tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak.

“Terdapat pelbagai pengisian ilmu yang boleh dicari oleh bapa itu sendiri. Apabila seorang bapa yang mempunyai ilmu mereka sudah tentu mampu mendidik anak dengan lebih baik. Bapa juga tidak boleh menyerah tanggungjawab mendidik anak sepenuhnya kepada seorang ibu. Sesibuk mana pun seorang bapa itu mencari rezeki, dia perlu ada masa untuk anak-anak.

Dalam hal mendidik anak-anak, seorang bapa itu perlulah fokus. Pendidikan itu perlu datang dari dalam hati. Bukan sekadar melepas batuk di tangga sahaja. Seorang bapa kena telus dalam apa sahaja perkara yang dilakukan. Jika mereka mahu menegur anak, tegur dengan hati yang ikhlas. Begitu juga apabila menasihati anak, mereka perlu nasihat dari hati bukan sekadar mengikut sedap kata. Setiap kali mereka melakukan sesuatu, seorang bapa mesti tanamkan dalam hati, ‘apa sahaja yang aku buat ini adalah untuk keluarga’.

Dalam mendidik anak-anak, seorang bapa perlu mengajar cara yang diamalkan dalam Islam. Sebagai contoh, mereka perlu mengajar anak-anak kepentingan bersalam dan menghormati kedua orang tua. Mereka mesti diajar tentang cara bersalam yang betul dengan ibu bapa. Seorang anak itu perlu terlebih dahulu mencium dahi orang tua mereka. Kemudian mereka mesti meminta maaf atas sebarang kesalahan yang telah dilakukan. Selepas itu mereka mesti minta izin atas apa sahaja yang mereka ingin lakukan. Kemudian jangan lupa minta orang tua mendoakan diri si anak atas apa sahaja perkara yang bakal dilakukan.

Jika seorang bapa mengajar perkara ini kepada anak-anak sudah pasti hidup anak-anak mereka akan lebih berkat dan anak-anak juga akan lebih menghormati dan menyayangi orang tua mereka. Seorang bapa kena ingat dalam membentuk keluarga dan mendidik anak-anak, mereka perlu rasional.

Bapa yang emosional boleh membawa dirinya ke jalan syaitan, manakala bapa yang rasional boleh membawa dirinya ke jalan Allah. Maksud ungkapan ini ialah jika seorang bapa itu marahkan anak, jangan terus menghukum mereka tanpa sebarang siasatan. Jika anak terus dimarahi tanpa usul periksa kesannya bukan sahaja membuatkan anak-anak takut tetapi benci dengan diri bapa itu sendiri. Asas dalam mendidik anak-anak adalah kena sabar dengan segala kelakuan mereka,” ujarnya panjang lebar.

Peranan Bapa Kearah Melahirkan Generasi Rabbani

Pendidikan terhadap anak merupakan perkara yang amat penting dan dititikberatkan dalam ajaran Islam. Anak-anak adalah amanah Allah dan generasi penerus bagi mendidik diri dan keluarga untuk memiliki kakuatan jiwa yang mampu menahan dari dari terjerumus kepada perbuatan yang menyalahi syariat Islam.

Firman Allah SWT, mafhumnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim : 6)

Ayat ini menegaskan tentang bahaya atau akibat daripada melanggar perintah Allah iaitu setiap daripada kita wajib mengetahui seterusnya mendidik anak, isteri dan keluarga yang kita kasihi dengan ajaran dan adab serta peraturan yang telah digariskan oleh Islam supaya diri dan keluarga kita terselamat dari kemurkaan Allah dan azabnya yang maha pedih.

Menurut perspektif islam, pendidikan anak-anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani serta jasmani mereka dengan berteraskan nilai-nilai yang baik bersumberkan Al-Quran, Hadis dan pendapat serta pengalaman para ulamak. Ia bertujuan melahirkan insan Rabbani yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh.

Falsafah pendidikan islam sebenarnya menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ianya bermula dengan beberapa peringkat, bermula dari dalam kandungan hinggalah ia lahir dan menjadi dewasa. Sebelum anak dilahirkan, bapa perlu menyediakan tempat dan persekitaran yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya. Ini bererti dunia pertama anak-anak selepas dilahirkan ialah rumah ibubapa itu sendiri. Untuk mencapai kesempurnaan pendidikan anak-anak, ibubapa perlu mewujudkan suasana yang harmoni dan bercirikan keIslaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih dahulu.

Jika pasangan suami isteri menghayati nilai-nilai keislaman dalam rumahtangganya, maka mudahlah ia mendidik anak-anaknya dengan benih-benih Islam. Atas dasar itulah Rasulullah SAW mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih bakal isteri yang mempunyai kesungguhan dalam penghayatan agama, bukan kerana paras rupa, keturunan atau harta semata-mata.

“Wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia lebih menguntungkan kamu (lebih utama).” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Sekiranya suami isteri gagal menerapkan nilai-nilai islam dan mengekalkan kerukunan rumahtangga, sukarlah bagi mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam. Maka rumah, ibubapa dan keluarga mesti dijadikan institusi penting dalam pembangunan anak cemerlang.

Islam menetapkan tugas dan peranan utama dalam keluarga adalah tanggungjawab bapa. Kita kerap diingatkan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibubapanyalah yang menjadikan Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”

Ternyatalah bahawa berjaya atau tidaknya seorang anak itu menjadi insan kamil bergantung kepada didikan kedua-dua ibubapa. Mungkinkah tanggungjawab yang berat ini dapat dipikul dan dilaksanakan oleh seorang ibu secara bersendirian.

Bapa juga berperanan dalam pembentukan akhlak anak-anak. Al-Quran sendiri telah mengutarakan kisah Luqman Al Hakim - seorang bapa yang menasihati anaknya supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah, tidak menyekutukannya, berbakti kepada ibubapa, menangkis arahan yang bercanggah dengan syariah, menghayati balasan yang baik dan buruk, tunaikan solat, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sentiasa bersabar dan jangan sekali-kali bersikap sombong. Ayat dalam surah Al Luqman ini sering kita baca tetapi berapa ramaikah bapa yang mengambil manfaat dan meniru perbuatan Luqman ini?

Oleh itu sebagai seorang bapa, didiklah anak-anak untuk mentaati perintah Allah sejak kecil lagi kerana ketika anak masih kecil fitrah mereka asalnya bersih. Tidak menjadi masalah besar untuk mereka diajar mematuhi perintah tuhan. Apabila sudah meningkat remaja, tidak sukar untuk menyuruh mereka menunaikan perintah solat dan menutup aurat kerana telah dibiasakan dengan syariat islam sejak kecil dan ia telah menjadi suatu budaya hidup mereka.

Dalam usaha memantapkan kefahaman Islam dikalangan anak-anak, ketua keluarga hendaklah mewujudkan persekitaran agama didalam rumahtangga. Diantara perkara yang boleh dilakukan termasuklah:

• Memperbanyakkan koleksi buku agama; ketua keluarga seharusnya memperbanyakkan koleksi buku-buku agama dirumah dengan mengadakan perpustakaan mini dirumah dan memberi perhatian khusus terhadap bacaan bacaan berunsur agama selain bahan bacaan yang lain. Ilmu agama dan akademik mempunyai kepentingan yang sama. Ia saling lengkap melengkapi antara satu sama lain tetapi yang lebih utama ialah penghayatan terhadap ilmu agama itu sendiri. Ilmu akademik membekalkan manusia dengan kemahiran dan teknologi untuk membina pembangunan dunia manakala penghayatan terhadap ilmu agama akan membentuk individu bertaqwa, amanah, jujur dan bertanggungjawab. Dengan erti kata lain akan lahir seorang individu yang bekerja keras untuk kehidupan dunia, membangunkan tamadun dunia. Namun hatinya tidak terlekat atau terleka dengan kehidupan dunia itu sendiri.

• Minat kepada ilmu agama; dengan membawa anak-anak ke pesta-pesta buku buku islam, mendedahkan mereka kepada ilmu agama dalam pelbagai bentuk seperti konsert nasyid, kaset, VCD, bahan-bahan multimedia yang lain, khemah ibadah, program-program keagamaan seperti sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Tilawah Al Quran dan sebagainya.

• Program peningkatan ilmu agama; bawalah anak-anak menghadiri program yang boleh meningkatkan ilmu agama seperti kuliah fardu ain di masjid. Bagi yang berkemampuan bawalah anak-anak menziarahi tempat-tempat peninggalan sejarah Islam dan tempat yang membawa kepada keagungan dan keunggulan Islam. Tujuannya adalah untuk mendapat pengajaran yang tersurat dan tersirat daripada sesuatu tempat itu.

Interaksi anak penting

Dalam meningkatkan kesedaran anak- anak untuk menghormati dan menghargai bapa masing-masing, golongan bapa juga perlu diingatkan supaya memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi anak-anak dalam kesibukan menjalankan tugas setiap hari. Kita sering membaca mengenai pengorbanan seorang bapa yang tidak berpelajaran tinggi tetapi masih berjaya membesarkan anak-anak sehingga mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan atau menjadi tokoh yang disegani masyarakat.

Pada masa yang sama, kita juga pernah terbaca laporan bapa merogol anak sendiri yang bukan saja berlaku di negara ini, tetapi di seluruh dunia. Baru-baru ini, seorang bapa di Brazil dilaporkan mengurung dan memenjarakan anak perempuannya selama 12 tahun dan merogolnya berulang kali sehingga melahirkan tujuh orang anak. Di Australia , seorang bapa dilaporkan telah merogol anak gadisnya sendiri hampir setiap hari sejak 30 tahun lalu sehingga menyebabkan gadis itu melahirkan empat orang anak hasil hubungan mereka, satu jenayah yang menyerupai kes 'haruan makan anak' Jose Fritzl di Austria sebelum ini. Rujuk entry Ayah rogol anak sendiri. Di Malaysia, seorang bapa dipenjara 20 tahun dan disebat 10 kali oleh Mahkamah Sesyen Temerloh pada awal bulan ini kerana merogol anaknya yang kurang upaya sehingga melahirkan seorang bayi perempuan. 

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman ketika ditemui di pejabatnya berkata, berdasarkan modul antarabangsa tiga ciri penting yang perlu ada pada golongan bapa ialah tanggungjawab, komitmen untuk meluangkan masa dan komunikasi. Kalau seorang bapa bertanggungjawab tetapi dia tidak luangkan masa, tidak boleh. Jika bapa itu sentiasa berada di rumah pun tetapi tidak berkomunikasi dengan anggota keluarga juga tidak baik. Oleh itu, ketiga-tiga ciri ini sama pentingnya. Berbanding dengan ibu, golongan bapa kurang berinteraksi dengan anak-anak kerana mereka menganggap segala masalah anak adalah tanggungjawab ibu. Ini adalah persepsi tradisional dan perlu diubah. 

Interaksi antara bapa dan anak bukan sahaja terhad ketika anak masih kecil tetapi sehingga anak meningkat remaja. Interaksi di antara bapa dan anak remaja adalah penting kerana pada peringkat ini seorang remaja membina sahsiah dan keyakinan diri mereka. Menyentuh mengenai kes jenayah seksual yang berlaku di antara bapa dan anak seperti yang sering dilaporkan media, ia berkemungkinan besar berpunca daripada rangsangan yang diterima dari pelbagai sumber termasuklah televisyen dan Internet. Apabila tidak ada ruang lain untuk bapa itu melepaskan nafsunya maka si bapa akan memilih mangsa yang paling dekat dan tidak mampu mempertahankan diri iaitu anak sendiri. Kita perlu mendidik bapa seperti ini supaya mampu mengawal nafsu diri dan mempunyai kemahiran untuk menguruskan tekanan. 

Cabaran bapa pada masa kini adalah berlainan dengan golongan bapa selepas zaman merdeka dulu kerana hari ini sebahagian besar daripada pasangan muda tinggal berasingan dari ibu bapa masing-masing dan tidak mempunyai sokongan daripada ibu bapa yang lebih berpengalaman. Keluarga muda pada hari ini menghadapi cabaran dari segi ekonomi, ketiadaan sokongan ibu bapa dan kos untuk menyara dan membesarkan anak menjadi semakin tinggi dari semasa ke semasa. Ia tidak termasuk tekanan yang dihadapi di tempat kerja dan mengharungi kesesakan lalu lintas ke tempat kerja. 

Jika dikaji, kes bapa rogol anak selalunya berlaku ketika ibu tidak ada di rumah dan keluar bekerja. Ini mungkin berlaku kerana si bapa tidak mendapat perhatian dan masa yang secukupnya daripada si ibu. Masalah sosial timbul dalam keluarga apabila anggota keluarga tidak tahu mengurus tekanan dengan cara yang positif. Ada yang menangis, memukul ahli keluarga, minum arak dan berjudi. Oleh itu, ahli masyarakat termasuk saudara-mara, jiran dan rakan sekerja perlu peka dengan tanda-tanda yang menunjukkan orang yang mereka kenali gagal untuk mengurus tekanan hidup secara positif. 

''Menyedari kepentingan untuk mengurus tekanan, pengurusan stres dan konflik menjadi salah satu modul keibubapaan LPPKN yang disediakan untuk pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Dalam kehidupan urban hari ini, golongan bapa perlu tahu cara menangani tekanan kerana masalah kewangan adalah masalah utama masa kini," katanya. 

Isu keibubapaan tidak pernah berakhir kerana setiap tahun lebih 200,000 pasangan mendirikan rumahtangga dan menjadi ibu bapa yang baru dalam masa dua tahun. Pada masa ini, terdapat lima juta keluarga di negara ini. Memandangkan bilangan keluarga bertambah setiap tahun, cara terbaik perlu dicari untuk meningkatkan kesedaran mengenai kemahiran kekeluargaan dan keibubapaan. Selain LPPKN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media perlu memainkan peranan dalam menyebarkan pelbagai maklumat.

Peranan bapa mengikut syariat Islam :

• Menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik untuk diikuti dalam memimpin dan mengukuhkan institusi keluarga. Firman Allah SWT mafhumnya, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab 33:21)

• Menyayangi dan melindungi ahli keluarga daripada segala bentuk ancaman akidah, keimanan dan kehidupan dunia.

• Menjadi contoh terbaik di dalam keluarga, disegani, dihormati dan disayangi ahli keluarga.

• Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat seperti ilmu penghayatan agama, kemahiran keibubapaan yang selari dengan peredaran zaman, untuk memimpin keluarga bagi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

• Mewujudkan persekitaran rumah dan keluarga agar ahli keluarga berasa dihargai, selamat dan dihormati dalam usaha melahirkan insan gemilang.

• Prihatin dan bersama memainkan peranan dan membabitkan diri membanteras gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat melalui program amar maaruf nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga daripada terjebak dengan gelaja tidak sihat.

Selain usaha dan peranan yang telah dilakukan, sebagai ketua keluarga seseorang bapa hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa membekalkan petunjuk, hidayah dan rahmat yang diberikan keatas anak, isteri dan keluarganya. Berdoalah dengan penuh kesungguhan dan pengharapan.

Selain daripada itu mohonlah agar kita dan keluarga kita dimatikan dalam khusnul khatimah (sebaik kesudahan) dan jauhkan daripada suul khatimah (seburuk kesudahan).

Anak-anak merupakan amanah Allah yang perlu dididik sebaiknya sejak kecil lagi supaya apabila besar kelak ia menjadi anak yang soleh dan sentiasa taat kepada kedua ibubapanya. Menjadi kewajipan kepada setiap ahli keluarga mengamalkan nilai murni dan ketua keluarga hendaklah konsisten dalam mendidik anak-anak agar sentiasa mengamalkan perintah dan menjauhi larangan Allah. Mereka ibarat kain putih dan ibubapalah yang berperanan mencorak dan melukiskannya dengan warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.

“Sebenarnya setiap hari adalah Hari Bapa. 
Bagi seorang bapa, kasih sayang anak adalah penting. 
Hadiah yang diterima pada hari tersebut pula menunjukkan betapa seorang anak itu menyayangi bapa dan menghargai pengorbanan yang telah dibuat oleh mereka.”

Semoga bermanafaat!

0 ulasan:

Catat Ulasan