Home | Looking for something? Sign In | New here? Sign Up | Log out
Blog ini hanyalah artikal semata-mata. Ianya ada yang ditulis dan ada yang diambil dari sumber-sumber yang dipercayai (Sebelumnya saya mohon maaf jika saya mengambil artikal ini tanpa izin yang empunya). Sekiranya ada kesilapan atau ketidakpuasan mengenai artikal ini harap dimaafkan, diberi komen atau cadangan. Semuga sedikit sebanyak ianya dapat berkongsi dan memberi ilmu pengetahuan kepada kita yang sedang mencari " ILMU " untuk manaafat diri dan sahabat-sahabat kita ... terima kasih.

05 Jun 2010

Punca Perbalahan .....

05 Jun 2010
Oleh Mohd Shahrizal Nasir, rencana@hmetro.com.my
PERBEZAAN pendapat mengenai sesuatu isu menyebabkan semangat perpaduan sesama umat Islam terhakis. Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif dalam kehidupan bermasyarakat seperti fitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, dendam dan mendedah keaiban orang lain.

Umat Islam perlu mengelak sebarang perselisihan, sebaliknya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi merapatkan kembali ikatan perpaduan sesama umat.

Firman Allah yang bermaksud : "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu)." (Surah al-Hujurat, ayat 10).

Politik tidak dapat dipisahkan dengan Islam yang bersifat syumul (sempurna) dalam segenap perkara yang membabitkan urusan dunia dan akhirat.

Namun, jika umat Islam terus merenggangkan perbezaan fahaman politik masing-masing, maka tercetuslah perpecahan ummah yang melemahkan kekuatan Islam.

Lebih teruk jika perjuangan politik hanyalah semata-mata untuk kedudukan serta kepentingan peribadi.

Walaupun bertujuan baik, keadaan yang sesak dalam suasana yang berhimpun padat itu akan mewujudkan situasi kurang sopan yang mencerminkan budaya yang tidak sihat.

Ini memudahkan musuh mencatur agenda memusnahkan perpaduan.

Allah berfirman yang bermaksud : "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisihan), kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu." (Surah al-Anfal, ayat 46).

Tujuan berdemonstrasi harus jelas dan menjamin impak terbaik buat semua. Jika sekadar wadah bagi mengumpul kekuatan dan menunjukkan kehebatan diri sendiri, ia menyalahi tuntutan Islam.

Apakah sudah tiada jalan penyelesaian terbaik bagi menangani sesuatu isu selain berdemonstrasi?

Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barang siapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim).

Allah berfirman yang bermaksud : "Wahai orang beriman, janganlah sesuatu puak dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk." (Surah al-Hujurat, ayat 11).

Jika dilihat secara positif, terdapat beberapa cara yang dituntut Islam bagi menyuarakan sesuatu pendapat atau mengajak manusia ke arah kebaikan.

Contohnya, apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menemui Firaun bagi menerima keesaan Allah, lalu diperintah mereka menuturkan kata-kata yang lembut dan bukan dengan angkuh atau menggunakan kekerasan.

Firman Allah yang bermaksud : "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut." (Surah Toha, ayat 43-44).

Konsep tegur-menegur secara berhikmah dan berhemah adalah sesuatu yang amat indah bagi menggambarkan keindahan Islam itu sendiri.

Rasulullah pernah bersabda berkaitan perihal menegur pemimpin yang antara lain bermaksud. "Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan.
Tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin itu dan nasihatilah dia secara sembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat itu) maka itulah yang diharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) sudah melaksanakan tanggungjawabnya." (Hadis riwayat Ahmad).

Budaya demonstrasi perlu dibendung agar ia tidak menjadi acuan serta budaya dalam masyarakat di negara ini.

Jika budaya ini menular, anak-anak mudah memberontak kepada kedua orang tuanya, murid cepat melenting dengan gurunya malah pekerja tiada kerja lain melainkan mahu menunjuk perasaan kepada majikannya sahaja.

Demonstrasi keterlaluan akan menyebabkan nama negara tercemar di mata dunia serta kepimpinan negara mendapat aib yang besar.

Sesungguhnya Islam menyeru umatnya jangan mendedahkan keaiban orang lain. Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu telah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu." (Hadis riwayat Abu Daud).

0 ulasan:

Catat Ulasan