Home | Looking for something? Sign In | New here? Sign Up | Log out
Blog ini hanyalah artikal semata-mata. Ianya ada yang ditulis dan ada yang diambil dari sumber-sumber yang dipercayai (Sebelumnya saya mohon maaf jika saya mengambil artikal ini tanpa izin yang empunya). Sekiranya ada kesilapan atau ketidakpuasan mengenai artikal ini harap dimaafkan, diberi komen atau cadangan. Semuga sedikit sebanyak ianya dapat berkongsi dan memberi ilmu pengetahuan kepada kita yang sedang mencari " ILMU " untuk manaafat diri dan sahabat-sahabat kita ... terima kasih.

04 Mei 2010

Mengapa Rasul bersifat insan?

04 Mei 2010
ANTARA asas penting dalam keimanan kepada para nabi a.s adalah beritikad atau berkeyakinan penuh bahawa mereka manusia dan bersifat dengan sifat-sifat kemanusiaan atau ciri-ciri keinsanan (tabai' basyariyyah).

Tidak bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan atau malaikat, atau makhluk super power yang berlainan dari insan yang bersifat manusia. Banyak pengikut agama cenderung untuk menyifatkan tokoh agama atau pengasas agama mereka dengan ciri-ciri ketuhanan atau malaikat atau super power bagi menggambarkan kehebatan tokoh atau pengasas agama berkenaan. Namun Islam tidak demikian. Nabi Muhammad dan sekelian para nabi disifatkan oleh al-Quran dengan ciri-ciri manusia seperti mana manusia lain, cumanya mereka ditabalkan menjadi rasul atau nabi, diberi wahyu dan kadang-kala diberi pertolongan dengan ayat atau mukjizat dalam keadaan yang getir. Pun begitu dalam sepanjang sejarah para nabi, ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, diseksa, dicederakan, dizalimi dan berbagai-bagai derita yang lain yang selalu menimpa para pejuang. Mereka tidak digambarkan kebal, atau boleh terbang, atau sentiasa dapat menghadirkan perkara-perkara pelik sehingga manusia beriman kerana ketakutan kepada mereka. Jika ada pun pertolongan Allah yang disebut 'ayat' atau mukjizat, perkara tersebut bukannya selalu dan ia sentiasa pula akan dikaitkan dengan kebesaran Allah, bukan kekuatan diri mereka sendiri.

Iktikad atau keyakinan ini diwajibkan oleh al-Quran dan al-Sunnah untuk seorang Muslim tanamkan dalam keimanan mereka.

Firman Allah: (maksudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Surah al-Kahf: 110).

Firman Allah lagi: (maksudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (Surah al-Anfal: 188).

Juga firmanNya: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya ketetapan. (Surah al-Ra'd: 38).

Banyak lagi nas-nas al-Quran yang menegaskan hal ini. Walaupun ciri-ciri keinsanan rasul ini telah menyebabkan sesetengah penentang rasul mengkritik mereka kerana mereka mempunyai sifat dan kehidupan yang sama dengan manusia biasa. Para penentang pula membayangkan para rasul dengan segala keajaiban. Al-Quran merakamkan kritikan mereka.

Firman Allah: (maksudnya) Dan mereka berkata: Kenapa dengan Rasul ini? dia makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya. (Surah al-Furqan: 7). Namun, Allah membantah cara fikir mereka ini dengan menjawab: Katakanlah (wahai Muhammad): Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul. (Surah al-Isra': 95).
Akidah

Mengapakah al-Quran menekankan ciri ini?
Demikian juga mengapakah Rasulullah saw sentiasa menekan asas akidah ini?
Sebabnya yang utama, demi memelihara tauhid atau akidah kepada Allah supaya hanya Dia Yang Maha Berkuasa dan layak untuk disembah. Manusia apabila tidak dikawal oleh akidah sebegini akan mengheret mereka memuji dan mengagungkan para rasul melebihi batasan yang sepatutnya. Lihat apa yang berlaku kepada Nabi Isa bin Maryam as Kepercayaan atau pujian yang berlebihan membawa mereka menyangkatnya menjadi anak Tuhan. Demikian sesetengah aliran tarekat kerohanian yang melampaui batas dalam memuji guru atau 'tok syeikh'. Sikap berlebih-lebihan memuji itu telah membawa mengagungkan guru atau syeikh melebihi tahap nabi, bahkan menyifatkan guru mereka dengan sifat-sifat ketuhanan seperti mengetahui yang ghaib dan seumpamanya. Bahkan lebih buruk lagi mengheret mereka memohon hajat dan doa dari syeikh mereka sebagai perantaraan dengan Allah, bukan lagi hanya memohon kepada Allah. Sehingga ada yang apabila timbul hajat dalam akan memanggil nama wali itu dan ini. Sehingga nama dan gambaran wali atau syeikh mereka itu lebih mendahului jiwa mereka apabila timbul sesuatu hajat, bukan lagi Allah swt Malangnya, ada dalam kalangan mereka yang menjustifikasikan hal itu dan menyatakan itu disuruh oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah, bahkan itu sebenarnya ajaran Ahbash dan tarekat-tarekat yang memuja kubur. Jika para wali itu masih hidup pun mereka akan menentang hal ini.

Rasulullah SAW sendiri dalam hadis baginda daripada Ibn 'Abbas: "Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: "Apa yang Allah dan engkau kehendaki". Maka baginda bersabda kepadanya: "Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki". (Riwayat Ahmad dinilai sahih oleh al-Albani).

Baginda juga mengingatkan kita: "Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: "Hamba Allah dan rasul-Nya" (al-Bukhari).

Perkara yang kedua, jika rasul itu bersifat dengan sifat ketuhanan atau malaikat, bagaimana mungkin manusia biasa mampu mencontohi mereka, sedangkan mereka dihantar untuk menjadi contoh teladan yang baik kepada manusia. Maka, tiadalah suri teladan dalam makan-minum, perhubungan suami isteri, teladan ketika gembira, ketika sedih, ketika marah, ketika lapar, ketika sakit, ketika ditindas dan berbagai lagi. Ini akan menjadi alasan untuk manusia tidak mencontohi rasul dan menyatakan bahawa kehidupan beragama yang diajar oleh para rasul itu tidak praktikal untuk diamalkan oleh manusia biasa. Alasan mereka kerana ciri-ciri fizikal yang dimiliki oleh para rasul itu tidak sama dengan manusia biasa.

Hingga mukjizat yang diberikan kepada para rasul itu pun bukan muncul dalam setiap keadaan. Dalam banyak keadaan para rasul menghadapi perjuangan mereka dengan segala usaha dan ikhtiar insani dan bertawakal kepada Allah. Bacalah Surah Yusuf, lihat bagaimana tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ya'kub dan Yusuf. Mereka berusaha keluar daripada ranjau kehidupan itu dengan menerusi proses perjalanan kehidupan seperti mana insan yang lain. Cumanya, kita dapat melihat kesungguhan, tawakal dan keimanan kepada Allah yang sungguh indah. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah dilontar sehingga cedera di Taif, dan cedera dalam peperangan Uhud. Batu-batu yang dilontar di Taif tidak bertukar menjadi tamar, dan pedang yang dihunuskan dalam peperangan menentang baginda tidak pula menjadi roti.

Bahkan ada para nabi yang dibunuh oleh Bani Israil. Kesemua itu menutup ruang untuk manusia mengelakkan diri dari mengikuti jejak para nabi atas alasan mereka 'super power' atau tidak serupa dengan kita.

Kata al-Syeikh 'Ali al-Tantawi ketika mengulas sifat-sifat para rasul a.s.: "Para rasul kesemuanya manusia. Mereka dilahirkan seperti mana dilahirkan manusia, mereka mati seperti mana manusia mati, mereka sakit dan sihat seperti mana manusia sakit dan sihat. Mereka tidak berbeza dengan manusia pada bentuk tubuh badan dan anggota, tidak pada perjalanan darah dan pergerakan jantung. Mereka makan dan minum seperti mana manusia makan dan minum. Tidak pada mereka sedikit pun unsur uluhiyyah (ketuhanan), kerana ketuhanan untuk Allah semata. Namun mereka adalah manusia yang telah diwahyukan kepada mereka" (Ali al-Tantawi, Ta'rif 'Am bi din al-Islam, m.s. 161, Mesir: Dar al-Wafa).

Lebih daripada itu kita lihat Allah jadikan mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw ialah al-Quran. Ini kerana baginda adalah nabi yang terakhir. Al-Quran akan berterusan sehingga Kiamat, sedang mukjizat yang mempunyai kaitan dengan fizikal seseorang tidak akan dapat disaksikan lagi dengan ketiadaannya. Mukjizat tongkat Musa sudah tidak dapat disaksikan lagi. Begitu juga mukjizat Isa menghidupkan orang mati dengan izin Allah sudah tiada lagi. Namun, ajaiban al-Quran terus disingkap dari zaman ke zaman. Maka, hendaklah para pendakwah dalam menceritakan tentang kerasulan menegaskan tentang ciri keinsanan Nabi Muhammad saw dan kesinambungan mukjizat al-Quran. Fokuslah mukjizat al-Quran yang terus mencerahkan akal dan menegakkan hujah kebenaran. Mukjizat lain, sekadar hanya menjadi riwayat sahaja.

Bahana perkara remeh

Saya merasa pelik kenapa umat Islam hari ini banyak membuang masa membincangkan dan membahaskan perkara yang remeh-temeh, sedangkan banyak lagi perkara penting dan serius yang perlu diteliti mendepani abad ke 21 ini. Isu-isu masa depan agama Islam dan survival umat Islam adalah antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian berbanding isu remeh-temeh seperti sama ada wajar atau tidak berarak, ketika menyambut Maulidur Rasul. Saya yakin semua rakyat Malaysia yang faham dan sudah tahu akan jawapannya. Kenapa perlu dibahaskan perkara yang sudah jelas, termasuk isu-isu lain seperti hukuman sebat ke atas wanita yang telah dijatuhkan hukum oleh mahkamah dan pertikaian sesama sendiri yang tidak pernah habis.

Sempena keputeraan Rasulullah SAW, tidakkah lebih baik kita membincangkan sama ada umat Islam berakhlak mengikut Baginda atau tidak? Perpecahan umat Islam yang semakin menghancurkan dan banyak lagi perkara berkaitan dengan masa depan kita di bumi bertuah ini. Berarak atau tidak menjelang Maulidur Rasul, itu bukanlah soal akidah atau melibatkan hidup mati Islam. Yang lebih penting adalah pengajaran daripada sambutan tersebut. Apa guna sambutan dibuat secara besar-besaran, sedangkan kesannya amat sedikit. Paling baik, sambutan hebat, kesannya juga hebat atau sambutan sederhana, kesannya juga hebat.

Janganlah berlaku sebaliknya, sambutan hebat, wang habis, impaknya kurang atau mungkin sedikit. Paling teruk, sudahlah sambutan tiada, ingatan terhadap Junjungan Besar semakin pupus. Apa pun, sekurang-kurangnya sambutan Maulidur Rasul mengingatkan kita kepada perjuangan Baginda. Begitulah indahnya budaya masyarakat kita yang menunjukkan rasa dan cara kecintaan kepada Baginda SAW.

Kalau kita meninjau sirah, Baginda tidak pernah sama sekali membiarkan hidup sia-sia dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kehidupan Baginda adalah kehidupan yang berkualiti dalam setiap saat yang berlalu. Setiap detik digunakan bagi tujuan jihad fisabilillah, dalam erti kata memastikan Islam dan umatnya terus menjadi hebat, berketerampilan dan berkualiti. Lebih membanggakan lagi, Islam tersebar ke segala ceruk rantau dunia. Inilah kemantapan perjuangan Baginda yang mesti kita ikuti dan contohi.

Selain daripada kemantapan akidah, asas utama perlu dimulakan dengan ikatan perpaduan dan persaudaraan. Kedua-dua elemen adalah asas kekuatan. Kita hanya ada satu Rasul yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah rujukan kita bersama al-Quran yang diwahyukan. Cara hidup dan peraturan yang dibawa terbukti mampu mencipta kegemilangan yang disanjungi dan dikagumi dunia, tidak ada yang mempertikaikannya, termasuk bukan Islam. Ini kerana, cara hidup Baginda adalah yang terbaik sebagaimana Islam yang dibawa Baginda. Justeru, tidak timbul isu untuk mempertikaikan kredibiliti Baginda dari apa jua sudut sekalipun, untuk diikuti pada hari ini. Michael Hart (2007), menempatkan Baginda sebagai orang yang paling hebat di dunia berbanding tokoh-tokoh terhebat dalam sejarah tamadun dunia. Masihkah kita ragu-ragu?

Justeru, tidak timbul pertikaian sesama Islam berhubung isu atau masalah yang telah selesai dan telah ada jalan penyelesaiannya. Misalnya berkaitan hukuman sebat ke atas penzina dan peminum arak. Mahkamah syariah, sumber tertinggi perundangan Islam negara, berkaitan hal ehwal umat Islam, telah memutuskan, maka hormatilah keputusan tersebut. Kepakaran hakim-hakim yang amat arif dalam bidang mereka tidak sepatutnya dipertikaikan. Kenapa beberapa NGO wanita Islam seperti cacing kepanasan? Siapa yang kena sebat sebenarnya? Kenapa perlu membuang masa mengadakan protes sana protes sini. Kita seolah-olah bertindak bagi pihak orang bukan Islam. Mereka tidak perlu bertindak lagi kerana kita sudah jadi wakil. Kita menghina keputusan mahkamah dan agama sendiri. Apakah tindakan ini wajar? Tidakkah kita sedar bahawa mereka bertepuk tangan melihat kita semakin jauh dari agama dan sunah Baginda. Tidak bersatu dan bersaudara dalam banyak perkara.
Pengajaran

Apakah kita mahu terus membiarkan umat Islam terus melakukan maksiat tanpa diberikan pengajaran?
Apakah kita takut nanti kalangan kita yang kena sebat dengan perlaksanaan hukuman tersebut?

Kenapa terlalu beriya-iya memperjuangkan hak asasi manusia? Saya teramat ingin melihat kita turut memperjuangkan hak-hak Allah selain hak asasi manusia. Barulah kita boleh mendapat penghormatan orang lain. Saya tidak mengatakan bahawa hukuman yang sedang berjalan seratus-peratus mengikut syariat, tetapi sekurang-kurang sudah ada jalan perintis ke arah itu. Hormatilah, kerana ia di bawah bidang kuasa mereka yang pakar. Budaya merujuk pakar mesti dihidupkan supaya yang bukan pakar tidak memandai-mandai. Jika baca Quran pun masih merangkak-rangkak, eloklah bertanya kepada yang lebih arif. Jangan bertindak seperti jahil berlagak pandai, akhirnya memakan diri.

Pesalah mesti dihukum. Kita tidak boleh melepaskan mereka terus bermaharajalela. Seks bebas, arak, dan maksiat yang lain ibarat dadah, selalunya ketagih. Melepas yang bersalah adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam setelah proses kaunseling atau nasihat tidak meninggalkan kesan. Kemungkaran mesti dibanteras, jika tidak ia akan menjadi barah dalam masyarakat, seterusnya merebak merosakkan orang lain.

Inilah bentuk pemikiran yang dikatakan oleh Eleanor Roosevelt, Great minds discuss ideas. Average minds discuss events. Small minds discuss people. Hari ini kita tidak habis-habis bincang pasal orang yang kita tidak suka, bukannya idea yang dibawanya. Idea atau perancangan ini pula ada baik dan buruknya. Yang baik diterima walaupun mungkin ia datang daripada musuh kita, manakala idea yang buruk bukan sahaja kita perlu menolak, malah pada masa sama kita perlu bersedia menentang. Misalnya, perancangan ultra kiasu dengan idea Malaysian Malaysia. Antara idea-idea mereka mahu menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam atas nama hak asasi manusia seperti seks bebas, arak, judi dan sebagainya. Kita tidak menghalang jika mereka mahu melakukannya, tetapi idea ini tidak akan membawa kebaikan umat Islam, malah akan menghuru-harakan negara. Maka kita perlu menolak dan bersedia untuk menghadapi mereka bila-bila masa, sama ada dari segi hujah, fakta dan tindakan. Sepatutnya kita membincang bahaya yang bakal menimpa jika kita biarkan idea-idea orang yang menentang Islam ini bermaharajalela, terutama kerosakan yang bakal diterima oleh orang kita.

Ini tidak, kita asyik menyalahkan orang, siapa benar, siapa salah.

Membincangkan perkara yang kecil akan menjadikan minda kita kerdil, tidak kreatif dan inovatif. Ini tidak termasuk cara hidup kita yang lain seperti lebih suka membincangkan kehidupan artis-artis berbanding kehidupan para ilmuan dengan hasil kajiannya dan negarawan dengan pengalamannya. Di negara maju, para ilmuan, negarawan, usahawan dan professional yang benar-benar terbukti cemerlang akan disanjung. Martabatnya dipandang tinggi dan dijemput untuk mengajar di universiti dan dianugerahkan gelaran profesor walaupun mungkin tidak ada penyelidikan yang dibuat. Penghargaan diberikan atas dasar ilmu dan pengalaman yang hebat sepanjang hidupnya.

Berbanding dengan kita, sudahlah budaya ilmu sedemikian tidak seadanya, malahan kita menggalakkan budaya memuja segelintir artis yang kehidupan mereka tidak habis-habis dilanda dengan kontroversi dan gosip-gosip yang tidak membangun minda. Perbincangan seperti ini hanya akan mematikan minda dan tidak menuju kepada kualiti hidup. Sudah sampai masa kita meniru cara pemikiran masyarakat maju yang meletakkan ilmu dan ilmuan di tempat yang tinggi berbanding perkara lain yang tidak berfaedah. Bahan-bahan bacaan atau buku-buku yang dibaca oleh mereka juga berkualiti tinggi, berbanding dengan masyarakat negara membangun yang lebih suka membaca makalah hiburan dan berita-berita picisan.

Perlu diingat, jika kita membaca dan membincangkan perkara-perkara besar, secara tidak langsung minda kita menjadi lebih besar, seterusnya melahirkan umat berjiwa besar. Jika tidak, kita akan terus membuang masa dengan pertikai perkara yang remeh dan kerdil. Perkara besar yang seharusnya difokuskan oleh umat Islam hari ini adalah berkaitan dengan perpaduan umat Islam dan hala tuju umat Islam mendepani abad ke 21 serta kekuatan pertahanan dalam menghadapi ancaman musuh. Kita sepatutnya serius membincangkan perancangan musuh melalui gerakan Freemason yang mahu mencairkan akidah dan memusnahkan umat Islam melalui pakatan mereka dengan beberapa parti pembangkang dan NGO sewaktu dengannya.
Jihad

Gerakan ini nampaknya sudah masuk ke dalam individu dan pertubuhan orang Islam. Matlamatnya mahu memisahkan kehidupan beragama. Agama dianggap sebagai sesuatu yang merbahaya. Mengelakkan umat Islam daripada bersatu, pada masa sama mahu mematikan semangat jihad umat Islam. Jika dahulu sasaran Freemason adalah Kristian, hari ini sasarannya adalah umat Islam setelah jatuhnya sistem sosialis.

Kejatuhan sistem sosialis telah memberikan masa depan yang cerah kepada freemason kembali bertapak kukuh pada akhir kurun ke 20. Sistem ekonomi diwujudkan dalam bentuk baru dan dinamakan sistem ekonomi kapitalis moden yang berselindung di sebalik nama globalisasi ekonomi. Nama globalisasi digunakan oleh Freemasonry untuk penutup penjajahan order baru imperialis ke atas dunia Islam.

Fathi Yakan dan Yusuf Al-Qardhawi melihat globalisasi sebagai proses hegemoni atau penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial Amerika Syarikat ke atas dunia khususnya dunia Islam dan dunia ketiga melalui proses pembaratan dan 'mengAmerikakan' mereka.

0 ulasan:

Catat Ulasan